PERKAHWINAN DALAM MEMBINA TAMADUN ISLAM



1.0 PENGENALAN
Pembinaan tamadun islam didasari oleh beberapa asas utama. Ini bertujuan membezakan nya dengan tamadun-tamadun lain di dunia. Ia juga bermatlamat supaya keunikan Islam itu dapat ditonjolkan serta memberi gambaran Islam adalah ajaran yang ideal yang menggalakkan umatnya berusaha gigih dan membangunkan tamadun mereka.

Menurut Syed Qutb, Islam adalah tamadun. Ia diadaptasikan daripada unsur-unsur ketauhidan daripada Allah S.W.T kerana nilai tauhid tersebut merupakan asas utama dalam pembinaan tamadun dan ianya memberi kesan yang menyeluruh kepada kehidupan insaniah.
Institusi keluarga adalah komponen pembentukan masyarakat pada tahap kedua pembinaan tamadun Islam. Keutuhan masyarakat adalah bergantung pada keutuhan institusi keluarga itu  sendiri. Oleh itu, institusi kekeluargaan perlulah dibina diatas landasan serta nilaian-nilaian Islam supaya ianya lebih terjamin dan terpelihara  kemakmurannya.
 Pembentukan sesebuah keluarga Islam mestilah bermula daripada pernikahan dan perkahwinan yang merupakan suatu tuntutan syarak. Perkahwinan bertujuan memenuhi tuntutan naluri manusia sesuai dengan kehendak tabiinya. Asas pembentukan dan pembinaan keluarga bahagia adalah berdasarkan beberapa faktor iaitu, takwa, al-mawaddah dan al-rahman, yang dapat menyokong dan menjamin perjalanan dan kehidupan sesebuah keluarga yang bahagia.
Perkahwinan dapat mengembangkan zuriat dan menambahkan bilangan umat manusia. Anak-anak yang dilahirkan perlulah diasuh dan diberi pendidikan ilmu dan agama yang sempurna untuk melahirkan generasi khaira ummah atau sebaik-baik umat. Oleh yang demikian, kekeluargaan perlulah didasari dengan ajaran Islam. Pembinaan sesebuah kekeluargaan ataupun sesebuah perkahwinan  yang berlandaskan ajaran Islam dan yang mengamalkan nilai-nilai Islamiah  dapat membina dan membentuk sebuah masyarakat yang dapat menuju kearah pembentukan tamadun Islam.

1.1 PENGERTIAN  PERKAHWINAN
    Menurut Kamus Melayu Global (halaman 235) menyatakan kahwin beerti perikatan yang sah antara lelaki dengan perempuan menjadi suami isteri. Manakala perkahwinan pula menyatakan prihal berkahwin, pernikahan penggabungan perpaduan dan lain-lain antara dua unsur yang berlainan.
      
           Menurut Kamus Pelajar Karisma (halaman 214) berkahwin adalah mempunyai isteri atau suami melalui pernikahan. Mengahwini pula bermaksud berkahwin dengan atau mengambil seseorang sebagai isteri atau suami. Manakala perkahwinan iaitu hal kahwin atau nikah atau pernikahan.

Menurut Kamus Prima (halaman 268), kahwin bermaksud ikatan menjadi suami isteri iaitu antara lelaki atau perempuan. Kahwin juga beerti nikah. Menurut kamus ini lagi terdapat empat jenis kahwin iaitu kahwin campuran, kahwin gantung, kahwin lari dan kahwin paksa. Kahwin campuran ialah berkahwin dengan orang yang berlainan atau bangsa dan agama. Kahwin gantung pula merupakan perkahwinan yang sudah sah menurut agama tetapi belum dirayakan atau suami isteri belum lagi tinggal serumah. Manakala kahwin lari ialah kahwin di tempat lain (dengan tidak disaksikan dan direstui oleh ibubapa). Dan kahwin paksa iaitu perkahwinan yang bukan dengan kehendak atau plihan sendiri melainkan kerana desakkan atau paksaan ibubapa atau keluarga.

1.2 PENGERTIAN TAMADUN ISLAM
          Menurut Abd Rahman Nawas (1995:2-3), Tamadun Islam pada umumnya, para cendikiawan Islam bersepakat bahawa istilah bagi tamadun agak menyamai tiga istilah lain yang terangkum di dalam ilmu linguistik Arab. Istilah-istilah tersebut ialah al-umran, al-hadarah dan al-madaniyyah. Namun yang demikian, penggunaan istilah-istilah  tersebut disesuaikan dengan kefahaman para pengkaji dalam usaha untuk memahamkan masyarakat tentang peradaban Islam mengikut perkembangan zaman.
           
Terdapat pelbagai definisi tamadun yang diutarakan oleh para pengkaji peradaban Islam. Pada keseluruhan, ia tertumpu kepada pembangunan peradaban manusia mengikut arus yang dibawa oleh Islam.
           
Antara definisi yang diutarakan ialah, menurut Syed Naquib Al-Attas tamadun Islam ialah keadaan kehidupan insan yang  mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya. Selain itu, Al-Syirazi mendefinisikan tamadun ini sebagai perbincangan tentang sesuatu kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu bangsa dan pemerintahannya yang mejurus kepada perbahasan mengenai sejarah keilmuan, peradaban, kemajuan industri dan pembangunan ekonomi sesuatu Negara. Abu Bakar Hamzah pula mendefinisikan tamadun  ini sebagai sesuatu yang lahir dan berkembang bersama-sama dengan kehidupan manusia dan perkembangan-perkembangan yang lahir daripada sama ada  sesuatu yang berupa sekala atau material. Teuku Iskandar pula mendefinisikan tamadun ini sebagai keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran, yakni sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi.
           
Definisi tamadun di atas boleh kita rangkumkan sebagai sebuah masyarakat yang berusaha meninngkatkan arus pembangunan dengan menunjukkan kehebatan keilmuan, pemikiran morality dan sebagainya untuk mendapatkan sanjuangan dan kenangan bagi generasi selepasnya. Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa tamadun Islam itu terbentuk daripada manifestasi   kecemerlangan  sesebuah masyarakat dalam pelbagai demensi yang merangkumi unsur spiritual, intelektual dan fizikal secara seimbang dan sepadu yang terkesan secara langsuang daripada penghayatan Islam itu sendiri (Rasyid Muhammad, 1993:3) 
           
Sebagai kesimpulannya, Tamadun Islam adalah satu usaha yang terdiri daripada gabungan dua aspek yang saling memerlukan, iaitu, rohani dan jasmani untuk mendapat nikmat material bagi kehidupan duniawi serta kesejahteraan jiwa atau saadah al-ruhiyyah, bagi keselamatan ukhrawi yang kekal abadi.

2.0 PERKAHWINAN DALAM ISLAM

            Pada dasarnya pekahwinan adalah sebahagian dari fitrah manusia dan berdasarkan fitrah itulah Allah mencipta manusia. Selain itu perkahwinan juga merupakan sebahagian dari hukum Allah (sunnatullah) yang berlaku di alam nyata kerana itu Rasulullah melarang dari menolak atau mengabaikan perkahwinan, bahkan dengan tegas baginda mencela keras dan tidak mengaku orang yang bersikap seperti itu sebagai umat baginda. Sabda baginda
barang siapa tidak menyukai sunnahku ia bukan dari aku (yakni bukan dari umatku). Berkahwin adalah sunnahku kerana itu siapa mengasihiku hendaklah ia melaksanakan sunnahku” (diriwayatkan oleh Ahmad bin Hambal).

            Para ulama’ Islam memandang bahawa perkahwinan adalah satu tugas dan tanggungjawab agama, yang seterusnya menjadi sebuah institusi pengawalan moral dan keperluan sosial. Konsep perkahwinan yang ditetapkan Islam ini sekaligus menghapuskan tradisi masyarakat pra-Islam yang tidak bertanggungjawab dalam kekeluargaan, tidak ketentuan hak anak, isteri dan lain-lain berlaku dengan meluas tanpa sebarang sistem dan peraturan dan hal ini merupakan unsur-unsur negatif yang menyimpang jauh dari pola-pola kemanusiaan untuk mencipta sebuah masyarakat yang bertamadun.

2.1 TANGGUNGJAWAB SEBELUM BERUMAHTANGGA

            Dalam agama Islam perkahwinan harus mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. Islam tidak menggalakkan perkahwinan lelaki dan perempuan dripada kerabat atau keluarga terdekat seperti sepupu kerana ianya adalah risiko yang tidak baik. Risiko daripada perkahwinan sesame kaum kerabat atau sanak saudara ialah potensi zuriat yang bakal lahir tidak sihat dan lembap dari segi pemikirannaya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“janganlah kamu menikahi wanita-wanita kerabat terdekat, maka sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran dan akal”

            Untuk memilih isteri yang soleh perlulah wanita yang berakhlak mulia dan kuat penghayatan agamanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Janganlah kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kecantikkannya. Kerana kecantikkannya akan memusnahkan dirinya. Janganlah kamu berkahwin dengan seorang wanita kerana kekayaan. Ia akan membuatnya derhaka. Kahwinilah dengan wanita kerana agamanya. Sesungguhnya seorang wanita suruhan yang baik penghayatan agamanya lebih baik dikahwini sekalipun dia berkulit hitam dan cuping telinganya berlubang besar”

            Untuk memilih calon suami pula perlu memilih agamanya dan akhlaknya. Tegas Rasulullah pilihlah lelaki yang soleh, bukan fasiq. Sabda rasulullah yang bermaksud:
“barang siapa mengahwinkannya anak perempuannya dengan lelaki fasiq (derhaka), beerti dia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”
Untuk mengetahui seseorang itu fasiq atau tidak perhatikan sembahyangnya.


2.3 TANGUNGJAWAB MENDIDIK ANAK-ANAK

Kelahiran anak kepada suami isteri merupakan sesuatu yang dinantikan serta  menjadi sumber kebahagiaan dan pengikat kasih sayang antara suami dan isteri. Oleh yang demikian, kelahiran anak-anak disambut dengan penuh kegembiraan, kabahagiaan , kebanggaan serta kesyukuran terhadap kurniaan Allah SWT itu.

Tanggungjawab yang utama terhadap anak-anak ialah memberikan tabiyyah atau pendidikan Islam. Ini bertujuan memastikan anak-anak adalah terselamat daripada siksaan api neraka di akhirat. Oleh yang demikian, tanggungjawab ibubapa sebenarnya telah bermula seawal pembentukan pernikahan mereka lagi.

Perkahwinan yang bahagia dan mendapat keredhaan Allah SWT, akan memberi kebahagiaan dan ketenteraman jiwa kepada anak-anak. Pada hakikatnya, hasil yang diharapkan daripada terbinanya sebuah  rumahtangga Islam adalah dapat melahirkan generasi yang soleh dan solehah. Generasi inilah yang sebenarnya bakal membentuk dan membina tamadun manusia yang berlandaskan ajaran Islam dan syariat. 

Melalui kasih sayang yang dimasukkan oleh Allah SWT kedalam lubuk hati kedua-dua ibubapa menjadikan mereka sanggup bekorban apa sahaja dengan harapan dan cita-cita yang amat tinggi untuk melihat anak-anak mereka berjaya, berilmu, dan berahklak atau menjadi insan yang soleh dan bahagia.

Ibubapa mempunyai kewajipan memberi nafkah seperti menyediakan tempat tinggal, makanan dan pakaian kepada anak-anaknya. Rasulullah SAW telah menjelaskan dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud,
“ satu dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah dan satu dinar engkau belanjakan untuk memerdekakan seseorang hamba dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk keperluan keluarga engkau, maka yang lebih besar pahalanya ialah yang engkau belanjakan untuk keluarga engkau”.
(riwayat Muslim)

Anak-anak secara fitrahnya dilahirkan dalam keadaan yang tidak berdosa ibarat kain yang putih dan bersih. Anak-anak membesar mengikut didikan yang diterimanya. Rasulullah SAW berrsabda yang bermaksud,
“anak-anak itu lahir dalam keadaan fitrah, ibubapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”.
( riwayat Bukhari dan Muslim )

Anak-anak adalah suatu anugerah dan amanah Allah yang diberikan sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.  Oleh itu menjadi kewajipan terhadap ibubapa agar memelihara mereka. Bukan sahaja memberi makan dan minum, pakaian dan kasih sayang  tetapi yang paling penting ialah memberi pendidikan dan ilmu pengetahuan serta pendidikan agama yang sempurna. Melalui pendidikan ilmu dan juga akhlak yang mulia kepada anak-anak, insya-Allah mereka kelak akan menjadi anggota masyarakat Islam yang beriman dan sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.

Namun, cita-cita dan harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan  sekiraanya  ibubapa jahil dengn peranan ini. Apatah lagi ibubapa itu sendiri gagal menjadi seorang muslimin atau muslimat yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Ibubapa hendaklah terlebih dahulu menjadikan diri masing-masing sebagai contoh teladan yang baik dalam segala segi kepada anak-anak.

Dalam melaksanakan amanah dan tanggugjawab yang diberikan kepada ibubapa ini, Islam telah menggariskan beberapa langkah dan panduan yang sewajarnya dilaksanakan demi anak-anak iaitu, sentiasa berdoa agar Allah memberi perlindungan kepada anak-anak daripada ganguan dan godaan syaitan kearah penyesatan. Selain itu, ibubapa hendaklah memberi nama yang membawa maksud yang baik kepada anak-anak dan memberi didikan yang baik dan sempurna kepada anak-anak. Seperti sabda Rasulullah yang bermaksud,
“ di antara kewajipan bapa terhadap anaknya ialah memberi pendidikan yang baik dan nama yang baik”
( riwayat Al-Baihaqi )
Selain itu, ibubapa digalakkan mencukur rambut dan mengadakan aqiqah untuk anak, terutamanya pada hari ke tujuh selepas kelahiran. Ibu hendaklah menyusukan anak sejak lahir hinggalah anaknya berusia dua tahun. Dalam hal ini, susu yang terbaik adalah susu ibu kerana ia diakui oleh pakar perubatan, iaitu ianya mengandungi khasiat yang tidak terdapat pada susu yang dikilangkan. Disebabkan kebaikan, kesempurnaan serta kelebihan susu ibu, Allah SWT telah befirman didalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud’
“ bagi ibu, hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan”.

Ibubapa wajib mendidik anak-anak menjadi manusia yang beriman, bertakwa dan beramal soleh dan berakhlak dengan akhlak yang baik. Islam juga telah  menyediakan perinsip dan mengariskan panduan kepada ibubapa khususnya sebagai pendidik dalam keluarga iaitu mengutamakan didikan akidah dan keimanan kepada anak-anak serta menanamkan keyakinan yang mendalam kedalam hati dan pemikiran mereka agar dengan demikian, akan menjadi benteng, perisai dan pengawal daripada mereka  terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat dan menyalahi hukum syarak.

Hanya melalui didikan iman dan Islam, satu-satunya jalan yang akan meletakkan manusia kepada keedhaan dan pemeliharaan Allah di dunia dan di akhirat. Adapun jalan yang lain, ia tidak akan mampu membawa kepada Allah dan keredhaan-Nya, malah akan menghantar kepada kesesatan dan penderitaan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“ inilah agama (Islam) yang benar, yang lain adalah sesat, kerana jalan inilah satu-satunya menyampaikan kepada Allah dan syurga dan jalan yang lain adalah jalan yang kesesatan dan menuju kepada neraka”.

Kepentingan akidah kepada anak-anak dapat dilihat dimana Rasulullah SAW memerintahkan supaya menyambut kedatangan bayi yang baru lahir dengan seruan azan dan iqamah supaya suara yang menusuk masuk kedalam melalui telinga itu, akan menembus hati nuraninya dengan kalimah-kalimah tauhid dan kalimah yang mengagungkan Allah SWT, sasaran ini telah disebut didalam suatu hadis riwayat Al-Hakim iaitu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

“bukakanlah hati anak-anak kamu dengan ucapan kalimah yang pertama sekali iaitu dengan kalimah, ‘tiada tuhan yang lain melainkan Allah’.”

Ibubapa dikehendaki mengulang-ulang ajaran kalimah ini, makna dan falsafahnya supaya ianya benar-benar masuk dan meresap ke dalam jiwa anak-anak supaya mentaati Allah SWT dan membiaasakan diri dengan akhlak yag mulia seperti sabda Rasullullah SAW melalui hadisnya yang dikeluarkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas yang bermaksud:

‘ajarlah anak-anak kamu supaya taatkan Allah dan takut kepada maksiat dan suruhlah anak-anak kamu melakukan apa yang disuruh oleh Allah serta menjauhi segala larangan-Nya, maka yang demikian itu akan memelihara mereka dan  memelihara kamu daripada neraka’. 

Berdasarkan hadis diatas jelas menerangkan betapa besarnya peranan ibubapa dalam memastikan agar anak-anak menjadi anak-anak yang soleh dan terpelihara daripada segala kemaksiatan. Anak-anak yang terdidik dengan ajaran agama yang cukup akan merasa malu untuk melakukan kemungkaran, berkhayal dan berfoya-foya. Hidup mereka akan terselamat dan tidak akan terdedah kepada fitnah keruntuhan moral dan akhlak yang bakal mendatangkan pelbagai penyakit masyarakat. Firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 28  yang bermaksud,
“dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu adalah menjadi ujian dalam kehidupan kamu, sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”.
         
          Semua nilai didikan, asuhan dan pelajaran tidak akan dapat membina anak-anak sekiranya ibubapa tidak sama-sama memperteguh dan membuktikan keunggulan nilai-nilai ddikan itu ketika anak-anak bersama-sama di rumah dan semasa mereka berada didalam masyarakat. Keadaan akan bertambah buruk lagi sekiranya kebiasaan yang berlaku dalam kehidupan keluarga mereka dan masyarakat amat bertentangan sama sekali dengan nilai-nilai terpuji dan baik yang mereka peroleh melalui pembelajaran mereka di sekolah-sekolah.

            Di sekolah, anak-anak diterapkan dan diperingatkan dengan  disiplin dan moral. Tetapi apabila mereka berada di tempat lain seperti di rumah atau dengan masyarakat luar, mereka melihat sesuatu yang bertentangan dengan   apa yang  telah mereka pelajari. Ini membuatkan anak-anak menjadi keliru dan ianya akan menjejaskan pendidikan itu sendiri. Anak-anak sukar untuk membezakan baik buruk sesuatu perkara tanpa bimbingan yang sempurna terunamanya nilai-nilai Islam kususnya daripada ibu bapa kerana ibubapalah orang yang paling hampir dam rapat dengan anak-anak .

            Oleh yang demikian, tidak semestinya setiap anak yang berpelajaran dan tinggi tahap akedemiknya, akan mempunyai jiwa yang terdidik. Kalau sekiranya tiadanya penerapan nilai-nilai Islam yang sempurna dan ibubapa sendiri yang tidak berakhlak yang baik, anak-anak akan terus hanyut dengan pemikiran dan penilaian mereka sendiri didalam masyarakat, maka selama itulah proses pendidikan yang sebenar tidak akan berkesan dalam erti kata yang sewajarnya. Ketika itu, kekesalan terhadap keruntuhan akhlak yang kian menjadi-jadi dikalangan generasi muda  dan masyarakat, sudah tidak berguna lagi.

            Keruntuhan akhlak anak-anak adalah mencerminkan kepada keruntuhan didikan ibubapa sebagai pemimpin kepada anak-anak dan masyarakat Islam keseluruhannya. Inilah yang disabdakan oleh Baginda, Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Setiap anak itu lahir dalam keadaan bersih. Maka kedua ibubapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

            Sebagai sebuah keluarga Islam, pergaulan ibubapa dengan anak-anak di rumah, hormat menghormati, dan setia kasih sayang itu hendaklah berasaskan kepada cara Islam kerana hormat-menghormati serta kasih sayang itu tidak tercapai tanpa berlandaskan keredhaan Ilahi. Seorang ibubapa tidak seharusnya terlalu bertolenrasi dengan  anak-anak mereka sehingga menjadikan anak-anak itu manja dan sanggup melakukan apa sahaja termasuklah melakukan kemaksiatan kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW,
            “muliakanlah anak-anak kamu dan perindahkanlah akhlak mereka”.
Muliakan anak-anak bukanlah bermaksud memanjakan mereka, tetapi memberikan pendidikan yang baik, memperelokkan pekertinya, dan memperteguhkan agamanya. Anak-anak yang terlatih dan terdidik dalam memuliakan ibubapanya, akan mewarisi anak-anak yang memuliakannya dan generasi akan datang dihari kelak. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud,
“ hormat dan lakukanlah kebajikan kepada ibubapa kamu, nescaya kamu akan beroleh kebajikan dan dan dihormati pula oleh anak-anak kamu”.

Silaturrahim yang baik anak-anak dan ibubapa akan dapat membantu perkembangan intelektual, emosi, jasmani, rohani dan sosial seseorang anak disamping dapat menambahkan lagi perasaan kasih yang kuat diantara ahli keluarga. Sebarang tindakan dan salahlaku anak-anak seharusnya tidak dipandang ringan oleh ibubapa dan ianya memerlukan kepekaan dan keperihatinan serta tindakan segera untuk  menyedarkan dan membetulkan semula kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak, dan membawa mereka kembali ke landasan yang betul dan diredhai Allah. Firman Allah yang bermaksud,
“ wahai orang-orang yang beriman, jaganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu bagi mengingati Allah dan ingatlah barang siapa yang berbuat demikian mereka itu adalah orang-orang yang rugi”.
(surah al-Munafikun:9)

3.0 PERKAHWINAN DALAM MEMBENTUK TAMADUN ISLAM.
           
            Islam menyuruh dan menggalakkan ummatnya berkahwin dan mendirikan rumahtangga untuk menjamin kesahihan keturunan dan meneruskan pengembangan zuriat,  generasi serta membanyakkan ummat Islam dalam masyarakat dunia. Dalam pada itu, Islam telah menggariskan beberapa perinsip untuk dijadikan panduan dan ikutan  dalam memastikan pembentukan sesebuah kekeluargaan Islam yang sempurna menurut syariat Islam.
           
            Institusi kekeluargaan adalah komponen pembentukan masyarakat pada tahap kedua pembinaan tamadun Islam. Keutuhan masyarakat adalah bergantung kepada keutuhan institusi keluarga itu sendiri. Oleh yang demikian, dalam sirah Nabi Muhammad SAW, baginda memberi penekanan dalam aspek pembinan keluarga selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud,
“hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya  malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak mendarhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka yang selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.
(  surah al-Tahriim, ayat 61 )   

Oleh itu, baginda menyampaikan seruan dakwah kepada keluarganya iaitu isteri dan anak-anak terlebih dahulu. Selepas itu diikuti dengan kaum kerabatnya yang terhampir.

            Dalam pembentukan sesebuah  keluarga Islam, terdapat beberapa dasar yang perlu diberi perhatian dan dititik beratkan. Perkahwinan adalah suatu asas utama dalam menentukan bermulanya  pembentukan rumahtangga. Perkahwinan juga merupakan tuntutan syarak. Di samping itu, perkahwinan bertujuan memenuhi tuntutan semulajadi naluri manusia yang bersesuaian dengan kehendaak tabiinya. Untuk memastikan sesebuah perkahwinan terjamin kerukunan dan kebahagiaannya serta ianya berkekalan, maka pembinaannya mestilah diasaskan kepada beberapa faktor iaitu, diantaaranya ialah, takwa, al-mawaddah dan al-rahmah.

            Takwa merupakan asas utama dalam perkahwian seseorang muslim. Ianya berperanan meletakkan perkahwinan di landasan yang betul bagi mendapat keberkatan dan menjadikan  perkahwinan itu sebagai suatu ibadah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“bahawa pernikahan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, maka ianya bukanlah dikalangan ummatku”.   

Al-mawaddah pula merupkan perasaan kasih sayang , saling cinta-mencintai, dan perasaan ingin memberi dan menerima, yang merupakan saripati sesebuah keluarga muslim. Kecintaan itu hendaklah dibina atas dasar cinta yang agung terhadap Allah SWT dan Rasulullah. Ini bermaksud, cinta dan kasih sayang itu perlulah dalam kerangka syariat. Matlamat kecintaan itu sendiri adalah mencari keredhaan Allah SWT , menjaga batas-batas dan adab-adab Islam serta ianya hendaklah sentiasa disuburi dengan pengisian dan nilai-nilai Islam.
Al-rahmah pula ialah sikap bertimbang rasa, saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tolong-menolong kearah kebajikan dan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.  Oleh  yang demikian, konsep ini perlulah dihayati dan menjadi dasar dalam hidup bekeluarga. Rasulullah SAW telah bersabda,
“sebaik-baik kamu ialah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah orang yang teramat baik sekali kepada isteriku”.
( riwayat Ibn Majah)

Tanpa al-rahmah,  perkahwinan tidak akan kekal lama dan kerukunan rumahtangga tidak wujud. Allah SWT telah berfirman di dalam surah Ar-Ruum yang bermaksud,
“di antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah, ia menciptakan untuk kamu isteri daripada jenis kamu supaya kamu bersenang-senang dengannya dan dikurniakan pula kepada kamu berkasih sayang dan kasih mengasihani sesama kamu yang kemudian itu menjadi kenyataan dan bukti bagi orang-orang yang berfikir”.

3.1 TUJUAN DAN HIKMAH PERKAHWINAN.

            Islam mengajar agar keluarga dan rumahtangga menjadi tempat bernaung yang kukuh dan menjanjikan ketegangan dimana wujudnya suasana yang dikatakan “rumahku syurgaku”
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

‘kaum lelaki (suami) adalah pemimpin bagi kaum wanita (isteri) oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan disebabkan kerana mereka (para suami) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. sebab itu, maka isteri yang solehah ialah yang taat kepada Allah, lagi memelihara diri ketika suaminya tiada (sebagai rasa syukur) dan kerana Allah telah memelihara mereka”
(an-Nisa’:ayat 34)

            Tujuan seseorang bernikah adalah untuk mendapatkan anak. Sayidina Umar pernah ditanya orang, “Wahai Umar, apakah tujuan kamu ini berkahwin ramai?” maka dijawab oleh Syaidina Umar, “ttujuan aku kahwin ini adalah untuk mendapatkan anak yang banyak.” Kerana itu bukan sahaja Saydina Umar yang kahwin ramai, Saydina Ali juga kahwin ramai. Hal ini boleh dilihat sekiranya kita ingin mengetahui seseorang perempuan itu mampu menghasilkan anak yang ramai hendaklah kita tengok pada keturunannya. Nabi juga menganjurkan kita berkahwin dengan tujuan mendapatkan anak yang banyak. Kerana itu dianjurkan supaya kahwin banyak supaya mendapat akan yang lebih.

            Kemudian tujuan kahwin juga ialah untuk melepaskan nafsu. Mengikut ilmu perubatan, orang yang sudah bernafsu kalau tidak dilepaskan nafsu syahwatnya itu, airmatanya akan naik ke otak dan ini akan membahayakan dirinya. Dia akan mendapat gila hendak kahwin. Ketika itu, fikirannya  akan rosak. Sebaliknya dengan berkahwin dan dapat melepaskan nafsu syahwat itu, orang itu akan bertambah cerdik. Malahan dia akan bertambah khusyuk sembahyang. Dengan demikian dapat melapangkan hati dan menambahkan khusyuk sembahyang. Ertinya sekiranya kita telah berkahwin ini mendapati sembahyang tidak khusyuk, maka lekas-lekaslah mendapatkan isteri. Demikianlah kata-kata Sayidina Ali.

 3.2 KESAN NEGATIF JIKA TIDAK BERKAHWIN

            Dunia sekarang dihujani dengan masalah generasi mudanya yang terdedah dengan keruntuhan moral dan akhlak  yang semakin serius. Hal ini turut berjangkit dan melular dalam generasi muda yang beragama Islam. Akibat tidak mendapat pendidikan Islam yang sempurna, mereka mudah terpengaruh dengan budaya barat yang memesongkan akidah tetapi dianggap seronok dan moden bagi mereka. Mereka terbawa-bawa dengan budaya yang bertentangan dengan nilai-nilai murni dan fahaman Islam.

Memanglah perhubungan intim manusia itu merupakan tabii dan fitrah manusia secara semula jadinya, tetapi ianya perlulah dengan jalan yang betul iaitu melalui sesebuah perkahwinan. Disebabkan itulah Islam menyuruh dan meletakkan hukum-hukum tertentu supaya umatnya berkahwin. Akibat tidak berkahwin dan memandang enteng soal perkahwinan telah mewujudkan sebuah masyarakat yang kacau bilau dan tidak terurus. Seks bebas berlaku secara berleluasa akibat ingin memuaskan nafsu shawat maka manusia cenderung melakukan  tindakan-tindakan diluar tabii seperti perlakuan seks diluar tabii yang berlaku antara sesama jantina seperti yang digelar oleh muda mudi sekarang iaitu gay (pasangan lelaki dengan lelaki) dan lesbian (pasangan perempuan dengan perempuan) serta perlakuan onani yang bertujuan memuaskan nafsu shawatnya sendiri.

Selain itu manusia akan bebas berpasangan antara lelaki dan wanita dan melakukan hubungan intim yang tidak sah dan diharamkan dalam Islam yang menyebabkan lahirnya zuriat atau generasi yang tidak sah taraf akibat bisikan syaitan untuk melunaskan hajat nafsu shawat manusia. Sebagai contoh, setiap tahun, lebih dari 100 pasangan Islam mendaftarkan diri untuk bernikah atas sebab bakal isteri yang ingin dikahwini sudah hamil. Sebilangan besar antara mereka akan melahirkan anak di luar pernikahan itu manakala sebilangan kecil menggugurkan kandungan mereka. menurut statistik empat remaja   menggurkan anak dan dua remaja melahirkan anak setiap hari. Kejadian seumpama ini tidak reliven dengan Negara yang ingin menuju kearah tamadun Islam dan masyarkat manusia yang dikatakan khaira ummah atau sebaik-baik ummat.

4.0 KESIMPULAN

            Kesimpulannya, institusi kekeluargaan adalah sayu unit mikro dalam membentuk tamadun Islam. Pembinaannya mestilah bermula daripada penyediaan peribadi muslim  kerana, hanya muslim yang berperibadi soleh sahaja layak mendapat pasangan muslimah yang solehah. Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud,
“Lelaki yang beriman adalah untuk wanita yang beriman dan wanita yang beriman adalah untuk lelaki yang beriman. Wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah untuk wanita yang keji. Mereka adalah diharamkan untuk mereka yang beriman”.

            Ketua keluarga bertanggungjawab merencana, membentuk serta  membangunkan sesebuah keluarga yang terdidik dengan nilai-nilai Islam. Pendidikan dan ajaran Islam amat penting dalam asas pembinaan sesebuah keluarga yang sempurna dan ini dapat melahirkaan generasi yang terdidik dengan kefahaman Islam dan seterusnya membentuk bi’ah solehah di dalam keluarga dan masyarakat. Ini merupakan tunas-tunas awal dalam melahirkan maasyarakat dan  Negara Islamiah  yang sempurna dan  menuju kearah pembinaan ketamadunan Islam.


-TAMAT-

Anniversary of Love

Daisypath Anniversary tickers
Daisypath Anniversary tickers
Daisypath Anniversary tickers