JATI DIRI USAHAWAN MUSLIM


1.0              PENGENALAN

Dunia keusahawanan dalam dunia yang semakin mencabar kini amat penting. Namun kini kita dapat melihat, tidak ramai usahawan yang mengusahakan produk-produk untuk kegunaan orang Islam khususnya. Oleh yang demikian penglibatan usahawan muslim amatlah digalakkan supaya kebajikan dalam pengunaan produk halal bagi Umat Islam terpelihara kini. Keusahawanan merupakan satu aktiviti yang mulia dan dianggap sebagai jihad fisabilillah. Jihad fisabilillah adalah satu konsep yang luas. Ianya merangkumi semua aktiviti yang dilakukan secara bersungguh-sungguh demi menegakkan ajaran Islam dan meninggikan syiar Islam. Seorang usahawan yang bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk menjalankan perniagaan yang halal dan mengikut segala peraturan muamalah dengan tujuan  membangukan ekonomi umat Islam adalah satu jihad dijalan Allah. Bidang  keusahawanan menjadi sumber rezeki kepada orang lain menerusi penyediaan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Menerusi peluang pekerjaan, golongan miskin dapat bekerja dan memperolehi pendapatan. Islam menuntut umatnya bekerja dan berusaha agar tidak dibelengu oleh kemiskinan. Hal ini secara lansung dapat mengelak daripada punca-punca yang dapat menyebabkan pelbagai masalah sosial, maksiat, jenanyah dan sebagainya perbuatan yang mungkar. Kerja mencari rezeki yang halal yang disertai dengan niat yang ikhlas adalah satu ibadah dan amal soleh. Amal soleh adalah amalan yang baik dan dapat merapatkan perhubungan antara manusia dengan Allah (hablul minallah) dan antara manusia dengan manusia yang lainnya (hablul minannas). Menerusi bidang keusahawanan, usahawan dapat memperbanyakkan amal solehnya.[1] Melalui fahaman konsep keusahawanan seperti ini, terbinalah jati diri usahawan muslim yang sebenar.





2.0              DEFINISI
Definisi memainkan peranan penting dalam menghuraikan dan menjelaskan perkara mengenai jati diri usahawan muslim ini. Ianya dapat difahami melalui rungkaian makna usahawan dan apakah erti jati diri usahawan muslim itu sebenarnya.

2.1              DEFINISI USAHAWAN
Perkataan usahawan dalam bahasa Inggeris entrepreneur berasal daripada bahasa Peranchis entreprendre yang bermaksud memikul tugas atau mencuba[2]. Jika dinilai daripada keseluruhan maksud dalam pelbagai kamus termasuk Kamus Dewan, usahawan adalah individu yang mengusahakan sesuatu perusahaan. Perusahaan dikaitkan dengan saiz kegiatan perniagaan yang besar kecuali perusahaan kecil. Secara umumnya, usahawan juga boleh ditakrifkan sebagai seorang yang mengusahakan sesuatu perniagaan sehingga berjaya dengan motif memperoleh keuntungan di samping menjalankan amalan-amalan yang strategik untuk terus berjaya[3]. Takrif usahawan  atau pengusaha dari segi ekonomi pula bermaksud individu yang betanggungjawab untuk menggabungkan factor-faktor pengeluaran bagi menghasilkan barang dan perkhidmatan. Pegusaha berperanan sebagai pemimpin, perancang, penyelaras dan pengawal aktiviti firma. Pengusaha perlu menaggung risiko yang sederhana dan pulangan kepada daya usaha dan kesediaan menganbil risiko ialah keuntungan[4]

2.2              DEFINISI JATI DIRI
Maksud jati diri ini adalah bergantung kepada fahaman orang yang menyebutnya. Bagi orang yang menurut akal. jati diri ini ialah keteguhan, ketahanan dan kekuatan fizikal dan mental. Jati diri juga ialah fizikal dan mental yang tahan dan lasak. Kedua-dua kekuatan ini dikatakan perlu untuk mencapai segala cita-cita dalam hidup yang mencakupi berbagai bidang[5].
Jati diri bagi orang agama atau orang rohani lain pula maksudnya. Jati itu pada bahasa membawa maksud murni. Dalam konteks ini, ia juga membawa maksud keteguhan seperti kayu jati yang kuat dan teguh hingga boleh diukir tanpa ia patah. Kayunya pun tahan lama, tidak lapuk dan tidak dimakan anai-anai atau bubuk. Perabot yang diperbuat dari kayu jati tahan dan boleh digunakan turun temurun. Diri itu bukan pula fizikal atau mental (akal) manusia sahaja. la adalah hakikat diri manusia itu sendiri iaitu hatinya atau jiwanya atau rohnya. Yang dikatakan diri manusia itu ialah hatinya. Oleh itu, bagi orang agama, jati diri itu bermaksud keteguhan atau ketahanan hati atau keteguhan jiwa. Inilah maksud jati diri yang sebenarnya.[6]
Oleh itu, jati diri yang sebenarnya seperti yang difahami oleh orang agama bukan sahaja setakat kekuatan fizikal dan mental. la termasuk juga keteguhan hati, roh atau jiwa. Jati diri bagi orang agama bertujuan untuk meneguh dan menguatkan jiwa supaya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang melalai dan merosakkan. la bertujuan untuk mencapai kemurnian hati demi untuk menempah kejayaan dan keselamatan di dunia dan di Akhirat.[7]
Orang yang mempunyai jati diri ialah orang yang kuat rasa bertuhan dan kuat berpegang kepada agama. Dia tegas dan berprinsip. Sentiasa di atas jalan yang benar dan lurus. Dia tidak mudah terpengaruh dengan keadaan dan suasana yang rosak.
Jati diri yang sebenar adalah ketahanan hati bukan kekuatan fizikal ataupun kekuatan mental semata-mata. Jati diri adalah kekuatan jiwa dan keteguhan hati. la adalah ukuran kekuatan seseorang manusia. Tanpa jati diri bererti tidak ada ketahanan jiwa. Jiwa jadi rapuh, reput dan lemah. Jiwa akan diserang dan dihinggapi oleh berbagai-bagai penyakit. Sifat-sifat dan pengaruh yang negatif mudah masuk ke dalam hati dan merosakkannya. Jiwa tidak ada pertahanan dan terdedah kepada bahaya.[8]

2.3              DEFINISI JATI DIRI USAHAWAN MUSLIM
Jati diri usahawan muslim boleh disimpulkan sebagai sifat-sifat yang dimiliki oleh seorang usahawan yang beragama Islam, menjalankan aktiviti perniagaan mengikut garis panduan yang telah titetapkan dalam hukum-hakam agama Islam. Usahawan muslim menjalankan tanggungjawab disamping amalan-amalan didalam aktiviti perniagaan dengan berpegang teguh kepada perinsip dan amalan yang sepatutnya diamalkan dalam urus niaga mengikut kaedah dan prinsip amalan perniagaan Islam. Dalam setiap apa yang dikerjakan menitikberatkan “hablul minallah” dan “hablul minannas” serta keredhaan Allah SWT didunia dan diakhirat.

3.0              KESEDARAN PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB SEORANG MUSLIM
Seorang muslim perlulah menjaga jati dirinya sebagai seorang muslim dan islam yang sebenar mengikut garis panduan yang telah digariskan dan ditetapkan oleh agama Islam supaya dapat membina dan menjamin kemajuan bangsa dan agama Islam itu sendiri. Islam menganjurkan umatnya agar berakhlak dan berbudi perkerti mulia dalam setiap perbuatan mahupun tuturkata. Kerana kemuliaan dan kehormatan seseorang itu akan dinilai melalui ketinggian keperibadian akhlak. Sejarah telah membuktikan bahawa umat yang maju adalah umat yang memiliki keperibadian akhlak yang tinggi sebaliknya umat yang tidak berakhlak akan menyebabkan ia menjadi lemah dan membawa kehancuran.[9]

Dewasa ini, kita sering mendengar tentang masalah yang menimpa umat Islam. Di mana umat Islam sama ada di negara ini mahupun di seluruh dunia sedang menghadapi krisis keruntuhan akhlak yang cukup membimbangkan. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan diatasi sudah pasti akan membawa umat Islam kelembah kehinaan dan kemurkaan Allah s.w.t. [10]  Di dalam perniagaan contohnya, urusan perbankan, urusniaga, jual beli dan sebagainya, penglibatan perkara yang berunsur riba’ dijalankan secara berleluasa sehingga timbul kekeliruan dalam menentukan perkara-perkara tersebut dimana halal haramnya. Segalanya dijalankan secara gharar atau tidak jelas.
Terdapat segelintir umat Islam yang telah hilang keperibadian sebagai seorang mukmin sejati, mereka seolah-olah hidup kembali seperti di zaman jahiliah. Dan yang lebih parah lagi terdapat umat Islam yang memisahkan dan mengasingkan urusan dunia dengan urusan hidup seharian bahkan beranggapan bahawa agama tidak memberi apa-apa sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara. Mereka menanam kepercayaan bahawa hanya ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu sains dan lain-lain yang terpisah dengan agama sahaja yang dapat membawa manusia kepada kemajuan dan ketamadunan. Ini semua merupakan petanda ke arah memisahkan agama daripada kehidupan manusia yang akan meyebabkan manusia hidup dalam budaya yang rosak dan jauh dari rahmat Allah s.w.t.[11]  seperti yang pernah berlaku pada zaman jahiliyah pengaruh yang dibawa daripada zaman renainse yang diketengahkan oleh masyarakat barat.

Memisahkan agama daripada hal-hal keduniaan akan memberi kesan yang cukup besar kepada pembangunan dan pembentukan akhlak manusia. Terdapat segelintir masyarakat hari ini beranggapan bahawa akhlak merupakan hal individu yang tidak ada hubung kait dengan kuasa pemerintah serta mereka tidak mahu pihak berkuasa campurtangan dalam menentukan hal-hal mereka dan mereka merasa perlu diberi kebebasan untuk melakukan apa yang diinginkan tanpa perlu ada sekatan daripada agama mahupun pemerintah dengan alasan bertentangan dengan hak asasi manusia dan menggugat hak kebebasan individu.

Maka, fahaman seumpama ini sangat-sangat bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w., kerana Islam merupakan suatu agama yang sempurna lagi lengkap mengatur seluruh kehidupan manusia meliputi pelbagai bidang seperti ibadah, mu’amalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.

Kerana itu, kita sebagai orang yang mengakui beriman kepada Allah s.w.t. hendaklah menjadi umat yang kuat dan tidak akan mudah diseleweng atau terpesong dengan fahaman tersebut atau bertindak mengikut kemahuan hawa nafsu semata-mata.
Disebabkan kita yakin bahawa dalam Islam kebebasan manusia bukanlah membawa maksud manusia itu bebas melakukan apa saja sesuka hati mereka, kerana Allah s.w.t. telah menetapkan batasan dan peraturan yang mesti dipatuhi oleh setiap manusia yang mukallaf dengan ketentuan halal dan haram begitu juga soal ganjaran pahala dan dosa.

Dalam Islam, kamajuan material sahaja bukanlah kamajuan yang utama yang ingin dicapai, kerana Islam juga menitik beratkan soal pembangunan modal insan iaitu melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, bermanfaat untuk diri sendiri, masyarakat dan negara. Berasaskan konsep inilah Islam muncul sebagai agama yang menjamin keharmonian, kesejahteraan, kebahagian dan kedamaian.

Oleh yang demikian memelihara jati diri sebagai seorang muslim adalah penting untuk pembangunan dan kemajuan umat Islam secara amnya. Umat Islam perlu menilai adakah diri telah melaksanakan semua perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan larangannya, seperti menjadi hamba yang tetap melaksanakan ibadah-ibadah yang khusus seperti sembahyang, berpuasa dan ibadah-ibadah yang umum seperti melaksanakan tugas dan tanggungjawab, menyayangi keluarga, menunaikan tanggungjawab sesama manusia, bercakap benar, memakan makanan yang halal, mencari sumber pendapatan yang halal dan sebagainya. Kerana sebagai seorang muslim adalah sentiasa dituntut agar berusaha mendekatkan diri serta mencari keredhaan Allah s.w.t. supaya umat Islam dapat terus memelihara dan memantapkan diri, keluarga dan masyarakat dengan sentiasa mempertingkatkan jati diri agar tidak terpengaruh dengan sebarang fahaman yang boleh menyesatkan serta merugikan sebagai seoarang muslim.





3.1       Tanggungjawab seorang muslim
3.1.1    Berusaha untuk Memiliki keimanan yang mantap
Sebagai seorang muslim sejati hidup kita hendaklah sentiasa didasarkan atas keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. sepanjang masa. Sekiranya berlaku pengabaian terhadap pengukuhan keimanan kepada Allah maka sudah tentu perjalanan hidup seseorang akan mudah diseleweng dan terpesong menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata. Maka kerana itulah keimanan yang mantap adalah penting sebagai penghalang daripada terjerumus ke lembah maksiat disamping ia mengatur perjalanan hidup yang selamat dan diredhai Allah s.w.t.

3.1.2    Berusaha menjadi insan berjiwa merdeka
Sebagai seorang muslim sejati hendaklah sentiasa berusaha membebaskan diri dari sebarang belenggu, terutama mengatasi belenggu penjajahan pemikiran dari pemikiran yang jumud kepada terbuka ke arah kemajuan dan pembaharuan serta menghasilkan pemikiran baru bagi kebaikan diri, masyarakat dan umat Islam. Seterusnya, hendaklah menolak fahaman serta amalan-amalan negatif yang boleh merosakkan dan menghancurkan umat Islam. Perkara yang paling utama ialah membebaskan pemikiran  dari sebarang bentuk ketergantungan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah s.w.t. yang boleh membawa kepada syirik terhadap Allah. Kerana sesungguhnya melakukan syirik terhadap Allah merupakan suatu dosa dan kezaliman yang besar.

3.1.3    Melaksanakan Amar Ma’aruf dan mencegah Nahi Mungkar
Sebagai seorang yang beriman dengan Allah  s.w.t. serta mengakui diri sebagai seorang muslim sejati, maka sudah tentu  tidak dapat lari dari tanggungjawab melaksanakan semua perintah Allah dan perkara-perkara ma’aruf serta meninggalkan semua yang mungkar, kerana ianya merupakan salah satu usaha dakwah dalam Islam. Maka sudah tentu tugas menyeru manusia kearah kebaikan menjadi keutamaan sesuai dengan ajaran Islam yang membawa maksud selamat dan sejahtera. Sekiranya setiap muslim melaksanakan tanggungjawab amar ma’aruf dan nahi mungkar, maka sudah pasti kita akan menjadi “khaira ummah” iaitu ummah yang unggul dalam erti kata menjadi ummah contoh yang diikuti sepanjang zaman.
4.0              TANGGUNGJAWAB DIRI SEORANG USAHAWAN MUSLIM
Sekali imbas didapati bahawa  usahawan  mempunyai banyak tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat. Ini akan sentiasa mendorongkan mereka untuk berusaha dengan gigih dan memperoleh keuntungan yang lumayan. Dari keuntungan ini,  mereka perlu mengeluarkan sebahagian untuk zakat perniagaan (bagi yang beragama Islam) dan cukai pendapatan.

Usahawan yang berjaya akan memperolehi tiga jenis ganjaran. Pertama, keuntungan yang lumayan; kedua, kepuasan dari berpeluang menyumbangkan tiga jenis perkhidmatan yang baik kepada masyarakat; dan ketiga, kepuasan kerana dapat memberi sumbangan derma kepada berbagai kegiatan masyarakat dalam bentuk kebajikan dan sosial.

Bagi usahawan Islam pula, ada dua lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T untuk mereka selain daripada tiga jenis ganjaran di atas. Menurut hadith riwayat At-Tirmidzi yang bermaksud:

"Saudagar yang benar dan amanah akan (dikumpulkan pada hari
balasan) bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar dan para
syuhada",[12]

Allah SWT mengurniakan dua ganjaran lagi kepada peniaga dan usahawan Muslim, dengan syarat mereka itu bersifat benar dan amanah. Pertama, Allah SWT mengangkatkan pangkat atau darjat mereka di akhirat nanti ke taraf para nabi, orang-orang benar dan para syuhada'. Taraf yang dikurniakan ini boleh dikatakan sangat tinggi dan mulia. Kedua, selain dari taraf yang amat tinggi itu juga diberi balasan syurga. Dua ganjaran di akhirat ini akan diberikan kepada semua peniaga dan usahawan Muslim yang
benar dan amanah, tidak kira sama ada mereka memperolehi keuntungan atau pun kerugian. Maka, bagi mereka yang beroleh keuntungan tetapi tidak mampu memberi apa-apa derma, maka golongan ini akan mendapat empat ganjaran sahaja. Bagi mereka yang mengalami kerugian pula, mereka akan hanya mendapat tiga ganjaran sahaja dan yang terbaik tentulah mereka yang mendapat lima ganjaran. Mereka ini sebenarnya adalah usahawan yang cemerlang usaha mereka, cemerlang dari segi teknik perniagaan mereka, cemrlang juga dari segi akhlaq mereka dan cemerlang pula dari segi ganjaran mereka. Maka agak amat logik sekali untuk memahami bahawa Islam itu sesungguhnya menuntut
umatnya bukan hanya setakat berniaga dan berusaha, tetapi seharusnya berniaga dan berusaha dengan cemerlang.[13]

4.1              TUGAS USAHAWAN MUSLIM
Usahawan  mempunyai tugas yang istimewa kepada masyarakat. Sebagai manusia
yang dijadikan oleh Allah SWT, mereka haruslah melaksanakan segala tugas yang membawa kepada kebahagiaan hidup mereka bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat kelak. Oleh yang demikian mereka harus mengabdikan diri kepada Allah (SWT) tanpa sebarang keraguan. Pengabdian ini amat perlu bagi mereka bukan sahaja sebagai individu, tetapi juga sebagai salah seorang ahli keluarga mahupun sebagai salah seorang anggota masyarakat. Tugas-tugas yang terangkum dalam istilah pengabdian diri ini ialah melaksanakan segala yang diperintah dan meninggalkan segalah yang dilarang. Melaksanakan segala yang diperintah ini bukan sahaja terhad kepada ibadat khusus semata. Ia merangkumi juga tugas-tugas untuk mendapatkan segala keperluan asas yang boleh menyelamatkan nyawanya, agamanya, keturunannya dan juga hartanya. Bagi mencapai matlamat ini, ia harus berusaha sendiri sedaya upaya bagi mendapatkan segala keperluannya dan bukan hanya boleh bergantung kepada orang lain, keluarga, mahupun masayarakat atau negara. Selagi ia berdaya melakukan tugas-tugas ini, selagi itulah ia harus berusaha. Ia sekali-kali tidak digalakkan untuk hidup di atas usaha orang lain.

Dalam usaha mencari rezeki, usahawan secara lansung melakukan tiga tugas penting kepada masyarakat. Pertama, usahawan khususnya, menghasilkan segala barang dan pekhidmatan yang diperlukan atau dikehendaki oleh masyarakat. Hakikatnya pada hari ini, usahawan merupakan manusia yang memikirkan bukan sahaja apakah yang dikehendaki oleh masyarakat, tetapi berusaha sedaya upaya untuk mencipta atau menghasilkan barang atau pekhidmatan itu. Usahawanlah yang mengenalpasti keperluan manusia ini dan mencari jalan untuk memuaskan keperluan tadi.

Tugas usahawan yang kedua, ialah mengagihkan barang dan pekhidmatan yang dihasilkan itu kepada masyarakat. Semua  barang yang hendak dipasarkan memerlukan peniaga-peniaga yang terdiri
daripada pemborong, penjual runcit, peraih dan sebagainya sebagai pengantara yang khususnya untuk membawa barang dan perkhidmatan dari kilang ke tempat-tempat yang sangat hampir dan selesa bagi masyarakat dan ini merupakan tugas yang sangat penting kepada masyarakat.

Tugas usahawan yang ketiga ialah memberi perkhidmatan kepada masyarakat dalam menentukan supaya barang dan perkhidmatan yang telah disediakan dapat digunakan sepenuhnya. Dalam menggunakan barang dan perkhidmatan yang makin canggih dewasa ini, pengguna biasanya menghadapi berbagai masalah yang memerlukan  perkhidmatan peniaga dan usahawan. Perkhidmatan yang dimaksudkan ini ialah perkhidmatan selepas jualan (after sales service). Perkhidmatan selepas jualan ini sudah menjadi satu lagi tugas pengusaha kerana kecanggihan barang dan perkhidmatan yang dihasilkan bagi keselesaan manusia. Tanpa tugas ini, mungkin barang dan perkhidmatan yang makin bertambah canggih tidak mempunyai makna kepada masyarakat.


4.2       TANGGUNGJAWAB USAHAWAN MUSLIM KEPADA MASYARAKAT
Manusia biasanya berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang digemarinya. Bagi seorang usahawan, mereka juga manusia biasa yang ingin mencari kepuasan melalui usaha mereka. Biasanya, usahawan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keuntungan yang lumayan. Dalam mencari keuntungan yang lumayan ini, mereka boleh melakukan usaha melalui berbagai cara. Mereka  boleh menipu, mencuri timbang, tidak membayar hutang, menindas pekerja, menghasilkan barang yang tidak tinggi mutunya dan sebagainya. Malangnya, segala yang disebutkan tadi itu hanya boleh membawa keuntungan dalam jangka pendek sahaja. [14]Sebaliknya, usahawan muslim perlulah mengelak daripada melakukan hal-hal sedemikian jika ingin terus berjaya dan bertambah maju dari masa ke masa. Usahawan perlulah berfikir bukannya hendak menjadi kaya dengan cepat dan selepas itu menjadi miskin  semula tetapi mereka haruslah sentiasa memikirkan manfaat atau faedah yang boleh didapati oleh pelanggan atau pembeli.

Keduanya usahawan terpaksa bersaing dengan usahawan yang lain yang juga menjalankan usaha yang sama, menjual barang yang sama, dan sebagainya. Dalam dunia
perniagaan hari ini, harus disedari bahawa persaingan antara usahawan begitu sengit sekali. Oleh itu seorang usahawan harus sentiasa mencari sesuatu kelebihan dalam barang atau perkhidmatan yang membolehkannya untuk bersaing dengan usahawan yang lain. Dalam usaha untuk meningkatkan daya saing perniagaan, usahawam perlu mencari jalan untuk meningkatkan mutu barangan, atau mengurangkan margin keuntungan, atau memberi perkhidmatan yang lebih baik, dan sebagainya. Sekiranya sentiasa berbuat demikian, maka lama kelamaan, diri akan menjadi lebih peka terhadap kerenah pengguna. Tanggungjawab usahawan akan lebih ditumpukan kepada apa yang dikehendaki oleh pengguna dalam apa bentuk sekalipun. [15]

Oleh yang demikian, antara tanggungjawab usahawan muslim ialah[16]:
1.         Menentukan mutu barang dan perkhidmatan yang disediakan untuk pengguna adalah paling baik supaya tidak ada barang yang cacat atau rosak yang hendak dijual secara menipu.
2.         Mencari jalan bagaimana cara untuk menjual dengan harga paling murah disamping untuk mendapatkan keuntungan kerana harga yang murah memberi kepuasan yang lebih kepada pembeli dan dapat menjaga kebajikan pembeli itu sendiri. Misalnya, cuba berunding dengan para pembekal untuk mengurangkan harga barang yang mereka bekalkan, atau meningkatkan keberkesanan proses pengeluaran dan sebagainya.
3.                  Berpegang kepada sifat benar dan amanah. Ini merupakan satu    tanggungjawab seorang usahawan muslim kepada masyarakat kerana penipuan atau pecah amanah merupakan kegiatan mengambil hak pembeli dengan cara yang batil. Maka, sebarang kecacatan yang ada harus dihuraikan kelemahannya supaya pembeli tahu apakah kekurangannya.
4.         Usahawan  harus sentiasa sedar bahawa dalam menjalankan tugas mereka, mereka sedang memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan bukan hanya utnuk mendapatkan keuntungan. Maka, keselesaan, keselamatan, kepuasan dan kebahgiaan masyarakat itu harus diutamkan sentiasa. Hal ini sudah pasti menjadi tanggungjawan para usahawan yang lebih tahu tentang barang dan perkhidmatan yang mereka sediakan.

5.0              KESIMPULAN
Usahawan muslim banyak memainkan peranan dalam pembanggunan dan kebajikan umat Islam secara khususnya. Jati diri usahawan muslim amat penting dalam memastikan perjalanan dalam aktiviti sesuatu perniagaan itu benar-benar mengikut landasan dan syariat Islam yang sebenar-benarnya.
Usahawan muslim perlulah memantapkan lagi keteguhan peribadinya dan ilmu pengetahuannya dalam bidang perniagaan supaya dapat terus teguh dan mampan untuk bersaing didalam dunia keusahawanan didalam Negara dan seantero dunia. Kejayaan diri usahawan muslim yang sebenar-benarnya adalah yang mendapat keredhaan Allah didunia dan diakhirat serta dapat memenuhi segala keperluan yang masyarakat kususnya masyarakat Islam amnya.
Oleh yang demikian peribadi usahawan muslim perlulah dibina dan dipupuk dikalangan usahawan baru dan muda-mudi Islam yang ingin bergiat didalam bidang keusahawanan.
Usahawan muslim juga perlulah saling membantu antara usahawan muslim yang lain supaya rantaian usahawan muslim terjalin teguh dan erat berpadu dalam mengenbangkan perniagaan berteraskan syiar Islam.










[1] Rosli Mahmood et.all.(2006).Prinsip-Perinsip Asas Keusahawanan.Kuala Lumpur:Pearson Malaysia Sdn.Bhd .Hlm.15
[2]Rosli Mahmood et.all.(2006).Prinsip-Perinsip Asas Keusahawanan.Kuala Lumpur:Pearson Malaysia Sdn.Bhd Hlm.2
[3] Rosli Mahmood et.all.(2006).Prinsip-Perinsip Asas Keusahawanan.Kuala Lumpur:Pearson Malaysia Sdn.Bhd Hlm.3
[4] Ngu H.S dan Md Zyadi Md. Tahir.(2005).Teks Pra U Mikroekonomi STPM Matrikulasi.Petaling Jaya, Selangor: Pearson Malaysia Sdn.Bhd. hlm 3

Anniversary of Love

Daisypath Anniversary tickers
Daisypath Anniversary tickers
Daisypath Anniversary tickers